Bangkit Guru Memimpin Perubahan

 

Saban tahun,detik bersejarah tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ’guru’.Hampir 500,000 golongan pendidik akan diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini.Selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor ingin mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Guru’ kepada semua barisan pendidik yang telah mencurahkan bakti bagi menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memacu halatuju pendidikan negara.

Sesungguhnya,cabaran sistem pendidikan semasa  dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik . Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan.Saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan barisan pendidik  dari peringkat awal pendidikan kanak- kanak hinggalah ke peringkat IPT. Sudah pasti , penghargaan ini ditujukan khususnya kepada golongan wanita yang bergelar ’muslimat’ dan mendominasi bidang pendidikan negara dalam memacu halatuju modal insan agar lahir generasi yang seimbang dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, amat disedari bahawa golongan wanita yang bergelar ’muslimat ’ merupakan insan yang cukup istimewa.Mereka dianugerahi ’sifat keibuan’ yang penuh kelembutan dan kasih sayang melebihi kaum lelaki.Justeru,profesion perguruan amat sesuai dan cukup sinonim dengan golongan bergelar wanita.Kitalah ibu, kitalah isteri, kitalah pekerja, kitalah pendidik, kitalah pendakwah,kitalah pemimpin dan kitalah juga penggerak dalam parti dan masyarakat. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan  tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat.

Dewasa ini,gejala sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat.Kes jenayah,zina, isu buang bayi , sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah ,jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam – macam lagi  sangat mendukacitakan.  Lajnah Pendidikan BPPNJ  melihat seolah- olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan pencakar langit dan menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jatidiri generasi pewaris masa hadapan  bergelar ’pelajar’ yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara  kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya Islam yang syumul sebagai wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.

Dan Sesiapa yang mengambil ALLAH, Rasulnya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) ALLAH itulah yang pasti menang”
(Al-Maidah : ayat 56)

Nasib dan kebajikan para guru juga  kian diabaikan dan tiada pembelaan .Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut untuk terus  mendidik anak bangsa  agar menjadi insan yang berguna kepada agama , bangsa dan negara.Apa yang paling menyedihkan,hanya kepada para guru  seolah- olah dibebankan segala tanggungjawab ini.Sebahagian pihak berperanan sebagai ’pembina’  malangnya sebahagian pihak pula menjadi ’peruntuh’ masa depan.Manakala peranan pihak kerajaan , media bercetak dan media elektronik selain institusi kekeluargaan seolah- olah semakin dikesampingkan. Sedangkan mereka juga berperanan mendidik masyarakat bagi melahirkan insan berjiwa rabbani. Bukankah  tanggungjawab mendidik  masyarakat mesti digalas secara kolektif dan bersepadu?.

Justeru,penghargaan  dan pengiktirafan daripada masyarakat  melalui kad ucapan , menaikkan banner atau majlis perayaan kepada golongan  pendidik amat penting untuk membangkitkan momentum perjuangan ke arah  ’mendidik masyarakat’ demi mencari keredhaan llahi.

Tema yang dipilih di peringkat Negeri Johor pada kali ini  ’Bangkit Guru Memimpin Perubahan ” .Tema ini dipilih berdasarkan hasrat  ,visi dan misi Lajnah Pendidikan BPPNJ  untuk melahirkan generasi yang seimbang dari aspek spiritual, intelektual, emosi dan fizikal melalui sistem pendidikan yang bersifat holistik dan global. Di tangan para gurulah , terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ’Pendidikan Rabbani”.

Tentunya, ’transformasi sistem pendidikan’ dan ’transformasi budaya’ yang dicetuskan oleh para guru bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kegembiraan meraikan Hari Guru yang cukup bermakna ini, para guru berdepan dengan kebajikan yang diabaikan dan hak guru yang semakin dinafikan. Atas nama ’dasar penjimatan ’ golongan guru pada tahun ini sering dinafikan dari segi tuntutan perjalanan semasa berkursus dan ’aktiviti pendidikan yang dikurangkan. Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan  dasar- dasar pendidikan yang bercelaru. Umpamanya kesan yang kini dirasai  berikutan dasar PPSMI  6 tahun dahulu yang membazirkan duit rakyat serta  meminggirkan pelajar luar bandar .

Ura- ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan,  seolah- olah hanyalah ’gula- gula’ yang diumpan kepada anak- anak kecil walhal pada hakikatnya pemansuhan secara berperingkat  dengan alasan ’soft landing’ memakan masa yang lama.Persoalannnya, bagaimana pula dengan mudah RM111 juta dibazirkan untuk Program Permata Negara dan puluhan ribu dicurahkan kepada hanya 20 buah sekolah berprestasi tinggi?Pelbagai projek  kononnya atas nama dan slogan  ’pendidikan anak bangsa  dilaburkan dengan begitu mudah, tetapi dalam masa yang sama meminggirkan kebajikan kaum guru adalah sangat dikesali.

Sesungguhnya,  ’Guru’ adalah ’agen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai ’kemerdekaan’ tanahair. Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.  Justeru, saya ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh negara agar ’berani’ membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang- wenangnya.Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan.! Beranilah menyuarakan pendapat melalui ’lisan dan mata pena’ demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas.!Mantapkanlah  jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi.

Sekali lagi , saya  mewakili Lajnah Pendidikan BPPNJ  ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru tahun 2012 kepada :
1.Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang  dimiliki oleh ahli-ahli PAS
2.Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang   dimiliki oleh NGO Islam
3.Guru-guru yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia
4.  Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI)
5. Guru – guru /pensyarah/Pegawai  yang bertugas di Institusi Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran  Malaysia.
6.Guru- Guru di sekolah Tahfiz Al- Quran & Sekolah Agama Rakyat.
7. Pesara guru.

Akhir kata,Selamat Menyambut Hari Guru dengan tema ’Bangkit Guru Memimpin perubahan .Akhir Kata serangkap pantun dari saya :

Gunung Bentan gilang- gemilang
Air laut tenang- tenangan
Budimu tuan tidakkan hilang
Itu menjadi kenang- kenangan

Normala Bt. Sudirman
Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan Negeri Johor 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s