Himpunan Hijau Pengerang

Sumber: NusajayaKini
Perhimpunan kumpulan peserta Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Johor yang dirancang bagi membantah projek petrokimia RAPID dijadual bermula sekitar jam 10.00 pagi.
Penduduk di perkampungan nelayan itu, diketuai satu gabungan NGO, mendakwa mereka tidak dirunding dan bimbang projek besar bernilai RM60 bilion itu akan menjejaskan alam sekitar, kesihatan dan punca ekonomi mereka.
Mereka akan berkumpul di dua lokasi – sejauh kira-kira satu kilometer dari tempat perhimpunan, sebelum berarak ke Dataran Sungai Rengit di Pengerang.
Kumpulan peserta perhimpunan itu akan membawa maskot udang besar sebagai lambang hasil pengeluaran utama kawasan itu. [MK]

 

30 September 2012

11.45 a.m – Peserta Himpunan Hijau Lestari Pengerang bersurai. Kerjasama semua diminta untuk membersihkan sampah di sekitar kawasan Dataran Rengit.

11.44 a.m – Sedang berkumandang di Dataran Rengit, nyanyian lagu ‘Suara Rakyat” dan ikrar “Piagam Bumi”.

11.39 a.m – Ucapan dari wakil anak Pengerang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Hijau Lestari Pengerang, saudari Anis Afida Mohd Azli sedang berucap.


“Saya berbangga kerana kita telah mencipta sejarah. Usah takut dengan kezaliman kerajaan. Rakyat perlu sebarkan maklumat kepada seluruh dunia.” – Anis Afida Mohd Azli.

11.35 a.m – Ucapan Pengerusi Himpunan Hijau Lestari Pengerang, saudara Wong Tat.

11.30 a.m – YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS berkata, “Perjuangan rakyat Pengerang akan jadi isu utama dibawa oleh PKR dalam parlimen minggu depan. Kita akan lawan sampai menang! Pastikan Johor di tangan Pakatan Rakyat!”

11.27 a.m – Pengumuman oleh pengerusi majlis, saudara Hishamuddin Rais, tentang Konsert 8 Tuntutan BERSIH pada 13 Oktober 2012 di Stadium Kelana Jaya bermula jam 4 petang hingga 12 malam. Juga akan diadakan Himpunan Satu Juta Rakyat di Stadium Bukit Jalil anjuran PKR pada 3 November 2012.

11.20 a.m – Anggaran peserta menjangkau 7k hingga 8k. Sedang berucap, wakil PKR, Dato’ Chua Jui Meng – “Azalina cabar nak berdebat dengan saya. Saya sahut untuk berdebat dengan Najib, tapi tiada respon sampai sekarang.”

Dato’ Chua Jui Meng menyampaikan mesej dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat hadir – “Kita pasti akan menang dalam PRU 13. Bila saya jadi PM dan PR jadi kerajaan, saya akan tolak RAPID.”

11.18 a.m – Dato’ Dr. Mahfodz Mohammed, Pesuruhjaya PAS Johor berkata, “Rakyat Pengerang tak bantah pembangunan, tetapi kita bantah projek ini sebab ianya menguntungkan kroni BN. Bukan setakat rumah dimusnahkan, kubur-kubur juga akan dikorek dan dipindahkan.”

11. 14 a.m – Ucapan dari wakil DAP Skudai, YB Dr. Boo – “Hari ini kita rakyat perlu bertegas. Tolak RAPID, bebaskan Malaysia.”


11.12 a.m – Ucapan dari wakil politik Parti Sosialis Malaysia, Saudara Chu – “Rakyat semua kena tolak projek ni. Ini perjuangan bersama menolak industri kotor. Tolak projek Lynas dan RAPID.”

11.08 a.m – Wakil DAP Tanjung Piai dan Anti-Lynas Group dari Segamat turut hadir. Sedang berucap adalah wakil Anti-Lynas Kuantan.

11.05 a.m – Ucapan Saudara Abdul Rahman Maidin, wakil Institut Peduli Rakyat – “Kembalikan hak Pengerang kepada rakyat Pengerang semula. Sekarang hanya 1 pilihan rakyat Pengerang, LAWAN.”

11.00 a.m – Ucapan wakil Himpunan Hijau Bukit Koman.

10.57 a.m – Deklamasi sajak dari anak muda Johor, Amni Jagat – “Gelora Hijau”. Laungan akhir “Kami mahukan hijau! Selamatkan tanah kami!”

10.56 a.m – Penyokong-penyokong Pengerang dari DAP Muar, bergambar bersama maskot Angry Lobster.

BN memilih Pengerang kerana Azalina berkata bahawa rakyat Pengerang tidak akan membangkang. Mereka sanggup lepaskan tanah Pengerang demi duit yang akan diperolehi. Dikatakan bahawa duit tersebut adalah untuk PRU 13.

10.55 a.m – Wakil ABIM – “Sangat prihatin pada solidariti hijau warga Pengerang. Apa guna pampasan 15k hingga 30k, warisan kita dimusnahkan.”

10.53 a.m – Peserta menjangkau 6000 orang.

10.46 a.m – Wakil anak FELDA (ANAK), Saudara Mazlan Aliman berucap – “Pengerang kubu terkuat di dunia, sebab tu Azalina cadangkan kepada Najib supaya projek dibuat di sini.”

“Pemaju projek, DAILOG, meminta 1624 hektar tanah untuk projek. DAILOG meminta kerajaan Johor membantu, akhirnya dapat 10% daripada yang diminta. Kerajaan Johor beri 22,500 hektar tanah kepada DAILOG, memusnahkan 10 kampung penduduk.”

“BN nak duit untuk pilihan raya, tapi rakyat jadi mangsa.”

10.40 a.m – Lagi ucapan dari wakil Pengerang, Saudara Ah Sim – “Minta rakyat keluar berjuang bersama kami, rakyat Pengerang.”

10.38 a.m – Ucapan wakil Pengerang, Cikgu Kasman – “Muslihat pemimpin nak musnahkan rakyat Pengerang. Katanya projek pembangunan, tapi nak musnahkan rakyat. Rumah diminta pindah, nilai pampasan sikit. Generasi kedua bakal merempat. Pemimpin tidak pernah dengar suara kami.”


10.30 a.m – Ucapan dari wakil BERSIH, Prof. Dr. Chin Huat – “Kita akan terus berdiri mempertahankan tanah air, siapa belot musnahkan tanah air, kita buang mereka.”

“Malaysia bukan tong sampah Taiwan, Australia, atau negara lain. Anti RAPID!”

10.28 a.m – Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dato’ Dr. Mahfodz Mohammed telah tiba.

10.25 a.m – Wakil PAS Parit Sulong dan wakil Pengerang bergambar. Saudara Ust Suren dari Kuala Lumpur membawa isu rampasan tanah di Kuala Lumpur – “Kita bukan 1 Malaysia! Kita Malaysia bersatu! Hari ini rakyat Pengerang telah cipta sejarah. Kami di KL, taknak duit. Kami mahu tanah dan warisan kami.”

 

 

10.22 a.m – Wakil Johor Yellow Flame naik pentas, bergambar sebagai tanda sokongan. YB Dr. Boo dan kumpulan PAS serta DAP telah sampai.

10.21 a.m – Wakil penduduk Pengerang yang tanahnya akan dirampas naik ke pentas. Majoriti penduduk adalah India.

 

 

10.20 a.m – “Keadilan dipertahankan. Ambillah tanah di tempat lain, bukan di sini. UMNO hanya semata-mata nak komisen.” – Wakil Green World.

 

10.10 a.m – Dato’ Seri Azalina Othman, ahli Parlimen Pengerang dijemput datang, tetapi belum kelihatan.
10.08 a.m – Deklamasi puisi dwibahasa dari wakil Mama Bersih untuk rakyat Pengerang. Mama Bersih menyampaikan rasa kecewa atas pencemaran yang membunuh keindahan alam. Laungan akhir “Save Lynas, Stop Project, Save Pengerang” bergema di Dataran Rengit.
10.01 a.m – Geng Mama Bersih dari Kuala Lumpur hadir ke Dataran Rengit. Nyanyian lagu Negaraku berkumandang.
9.57 a.m – Ketibaan YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS. Bacaan doa oleh wakil nelayan Pengerang. Peserta himpunan diminta tidak membunyikan wisel dan hon bagi menghormati bacaan doa selamat. Turut kelihatan tiba, Dato’ Chua Jui Meng.
9.54 a.m – Unit Amal dan Pemuda PAS, Angkatan Muda Keadilan Johor, Kuala Lumpur Chinese Assembly Hall, Muafakat Kampung-kampung Tradisional Kuala Lumpur, dan wakil KeADILan mula datang.

 

9.45 a.m – Helikopter polis mula berlegar di ruang udara Dataran Rengit. Orang ramai berpakaian hijau semakin ramai memenuhi dataran. Penduduk Raub Bukit Kuman turut hadir memberi sokongan. Program bakal dimulakan. Peserta dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis datang segerombolan.

9.28 a.m – Cikgu Mala di Twitter menjemput orang ramai ke Dataran Rengit untuk menyertai Himpunan Hijau Lestari Pengerang.

 

9.21 a.m – Rombongan MTD PAS Benut dalam perjalanan ke Pengerang untuk menyertai Himpunan Hijau Lestari Pengerang. Dijangka akan sampai dalam sejam lagi.

 

Gambar: Facebook MTD PAS Benut
9.06 a.m – Pihak polis memberi sedikit taklimat dan syarat himpunan. Peserta dilarang menutup muka, tidak dibenarkan memakai topeng lobster dan orang awam berumur 15 tahun ke bawah dilarang berada di dataran. Tempat meletak kenderaan adalah di hadapan sekolah.

9.04 a.m – Peserta Himpunan Hijau Lestari Pengerang berpakaian hijau, memegang kain rentang “We Are From Mentakab, Stop Lynas Save M’sia”.

9.00 a.m – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Hijau Lestari Pengerang, Saudari Anis Afida Mohd Azli sudah berada di Dataran Rengit.
8.50 a.m – Orang ramai sedang memenuhi dataran. Polis sudah mula membuat sekatan jalan. Bas PLKN melalui kawasan Himpunan Hijau Lestari Pengerang sebentar tadi.
8.36 a.m – Anggota polis sudah mula berkumpul untuk memantau Himpunan Hijau Lestari Pengerang. Kelihatan beberapa kumpulan peserta himpunan berpakaian hijau di sekitar Dataran Rengit.

 

 

29 September 2012

Kumpulan UMNO di tapak Himpunan Hijau Lestari Pengerang, Dataran Rengit.

Muatnaik: Ahad, 30 September 2012

930 Himpunan Hijau Lestari Pengerang

Gallery

RIANG RAYA Semarak Hijau ke Putrajaya (Zon Selatan)

This gallery contains 5 photos.

Yakin PAS Boleh Buktikan Untuk Tawan Johor

Sumber: Selatan Online Dot Net

JOHOR BAHRU – Naib Presiden PAS, Datuk Mahfoz Omar menegaskan bahawa pihaknya begitu optimis Pakatan Rakyat (PR) mampu menawan Johor pada Pilihan raya Umum (PRU) ke 13 dan Salahuddin Ayub tanpa ragu menawarkan diri untuk bertanding di negeri asalnya itu.

”Sebab apa? Sebab kita sudah ada maklumat cukup untuk digunakan di Johor nanti, kita yakin dapat tawan Johor.

”Kalau tak cukup yakin, tak kan dia berani memperjudikan nasibnya sendiri sedangkan beliau sudah cukup kukuh di Kubang Kerian. Sokongan rakyat Johor terhadap beliau sudah boleh dilihat,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah beliau turut menambah Salahuddin cukup kukuh di Kubang Kerian hingga disifatkan Mahfoz beranalogi, andai diletak songkoknya tanpa Salahuddin sendiri turun berkempen pun beliau boleh menang dengan mudah dalam PRU kelak.

Disamping itu, Mahfoz berkata PAS bukan hanya sasarkan Johor yang selama ini dianggap kubu kuat BN, malah juga negeri lain.

Salahuddin sebelum ini sudah mengesahkan yang beliau akan kembali bertanding di negeri bersitgma ‘kubu kuat UMNO’ dan dipercayai kehadiran beliau membuatkan para pemimpin BN berasa kurang selesa dengan perkembangan itu.

Dimuatnaik pada: Ahad, 17 Jun 2012

Bangkit Guru Memimpin Perubahan

 

Saban tahun,detik bersejarah tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ’guru’.Hampir 500,000 golongan pendidik akan diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini.Selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor ingin mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Guru’ kepada semua barisan pendidik yang telah mencurahkan bakti bagi menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memacu halatuju pendidikan negara.

Sesungguhnya,cabaran sistem pendidikan semasa  dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik . Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan.Saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan barisan pendidik  dari peringkat awal pendidikan kanak- kanak hinggalah ke peringkat IPT. Sudah pasti , penghargaan ini ditujukan khususnya kepada golongan wanita yang bergelar ’muslimat’ dan mendominasi bidang pendidikan negara dalam memacu halatuju modal insan agar lahir generasi yang seimbang dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, amat disedari bahawa golongan wanita yang bergelar ’muslimat ’ merupakan insan yang cukup istimewa.Mereka dianugerahi ’sifat keibuan’ yang penuh kelembutan dan kasih sayang melebihi kaum lelaki.Justeru,profesion perguruan amat sesuai dan cukup sinonim dengan golongan bergelar wanita.Kitalah ibu, kitalah isteri, kitalah pekerja, kitalah pendidik, kitalah pendakwah,kitalah pemimpin dan kitalah juga penggerak dalam parti dan masyarakat. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan  tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat.

Dewasa ini,gejala sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat.Kes jenayah,zina, isu buang bayi , sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah ,jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam – macam lagi  sangat mendukacitakan.  Lajnah Pendidikan BPPNJ  melihat seolah- olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan pencakar langit dan menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jatidiri generasi pewaris masa hadapan  bergelar ’pelajar’ yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara  kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya Islam yang syumul sebagai wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.

Dan Sesiapa yang mengambil ALLAH, Rasulnya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) ALLAH itulah yang pasti menang”
(Al-Maidah : ayat 56)

Nasib dan kebajikan para guru juga  kian diabaikan dan tiada pembelaan .Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut untuk terus  mendidik anak bangsa  agar menjadi insan yang berguna kepada agama , bangsa dan negara.Apa yang paling menyedihkan,hanya kepada para guru  seolah- olah dibebankan segala tanggungjawab ini.Sebahagian pihak berperanan sebagai ’pembina’  malangnya sebahagian pihak pula menjadi ’peruntuh’ masa depan.Manakala peranan pihak kerajaan , media bercetak dan media elektronik selain institusi kekeluargaan seolah- olah semakin dikesampingkan. Sedangkan mereka juga berperanan mendidik masyarakat bagi melahirkan insan berjiwa rabbani. Bukankah  tanggungjawab mendidik  masyarakat mesti digalas secara kolektif dan bersepadu?.

Justeru,penghargaan  dan pengiktirafan daripada masyarakat  melalui kad ucapan , menaikkan banner atau majlis perayaan kepada golongan  pendidik amat penting untuk membangkitkan momentum perjuangan ke arah  ’mendidik masyarakat’ demi mencari keredhaan llahi.

Tema yang dipilih di peringkat Negeri Johor pada kali ini  ’Bangkit Guru Memimpin Perubahan ” .Tema ini dipilih berdasarkan hasrat  ,visi dan misi Lajnah Pendidikan BPPNJ  untuk melahirkan generasi yang seimbang dari aspek spiritual, intelektual, emosi dan fizikal melalui sistem pendidikan yang bersifat holistik dan global. Di tangan para gurulah , terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ’Pendidikan Rabbani”.

Tentunya, ’transformasi sistem pendidikan’ dan ’transformasi budaya’ yang dicetuskan oleh para guru bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kegembiraan meraikan Hari Guru yang cukup bermakna ini, para guru berdepan dengan kebajikan yang diabaikan dan hak guru yang semakin dinafikan. Atas nama ’dasar penjimatan ’ golongan guru pada tahun ini sering dinafikan dari segi tuntutan perjalanan semasa berkursus dan ’aktiviti pendidikan yang dikurangkan. Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan  dasar- dasar pendidikan yang bercelaru. Umpamanya kesan yang kini dirasai  berikutan dasar PPSMI  6 tahun dahulu yang membazirkan duit rakyat serta  meminggirkan pelajar luar bandar .

Ura- ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan,  seolah- olah hanyalah ’gula- gula’ yang diumpan kepada anak- anak kecil walhal pada hakikatnya pemansuhan secara berperingkat  dengan alasan ’soft landing’ memakan masa yang lama.Persoalannnya, bagaimana pula dengan mudah RM111 juta dibazirkan untuk Program Permata Negara dan puluhan ribu dicurahkan kepada hanya 20 buah sekolah berprestasi tinggi?Pelbagai projek  kononnya atas nama dan slogan  ’pendidikan anak bangsa  dilaburkan dengan begitu mudah, tetapi dalam masa yang sama meminggirkan kebajikan kaum guru adalah sangat dikesali.

Sesungguhnya,  ’Guru’ adalah ’agen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai ’kemerdekaan’ tanahair. Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.  Justeru, saya ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh negara agar ’berani’ membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang- wenangnya.Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan.! Beranilah menyuarakan pendapat melalui ’lisan dan mata pena’ demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas.!Mantapkanlah  jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi.

Sekali lagi , saya  mewakili Lajnah Pendidikan BPPNJ  ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru tahun 2012 kepada :
1.Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang  dimiliki oleh ahli-ahli PAS
2.Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang   dimiliki oleh NGO Islam
3.Guru-guru yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia
4.  Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI)
5. Guru – guru /pensyarah/Pegawai  yang bertugas di Institusi Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran  Malaysia.
6.Guru- Guru di sekolah Tahfiz Al- Quran & Sekolah Agama Rakyat.
7. Pesara guru.

Akhir kata,Selamat Menyambut Hari Guru dengan tema ’Bangkit Guru Memimpin perubahan .Akhir Kata serangkap pantun dari saya :

Gunung Bentan gilang- gemilang
Air laut tenang- tenangan
Budimu tuan tidakkan hilang
Itu menjadi kenang- kenangan

Normala Bt. Sudirman
Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan Negeri Johor